Destini catat keuntungan bersih lebih kukuh RM7.2 juta
KUALA LUMPUR: Destini Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATNCI) lebih kukuh sebanyak RM7.2 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025, meningkat 17 peratus berbanding RM6.14 juta yang diraih pada suku sebelumnya.
Hasil yang diperoleh penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu terkemuka itu dalam suku dikaji adalah sebanyak RM79.41 juta.
Keputusan ini menekankan fokus berterusan kumpulan terhadap pendapatan berkualiti tinggi dan pelaksanaan operasi yang berdisiplin merentasi segmen terasnya.
Prestasi kumulatif kumpulan bagi separuh pertama tahun kewangan menunjukkan pertumbuhan kukuh tahun ke tahun serta momentum keuntungan yang mampan.
Bagi tempoh separuh pertama, hasil terkumpul Destini mencecah RM160.62 juta dengan PATNCI kumulatif meningkat kepada RM13.34 juta.
Berbanding PATNCI separuh pertama tahun sebelumnya sebanyak RM11.4 juta, ini mewakili peningkatan 17 peratus tahun ke tahun, sekali gus menandakan trajektori pertumbuhan yang kukuh dalam prestasi keuntungan bersih kumpulan.
Seiring dengan keuntungan yang berterusan dan aliran tunai yang lebih kukuh, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.5 sen sesaham.
Dividen ini mencerminkan komitmen kumpulan dalam memberikan nilai kepada pemegang saham sambil mengekalkan kedudukan modal yang sihat untuk keperluan operasi.
Pengarah Urusan Kumpulan Destini, Datuk Seri Dr Shahril Mokhtar, berkata keputusan separuh tahun kumpulan mencerminkan kejayaan penstabilan operasi serta fokus yang jelas terhadap pendapatan berkualiti tinggi.
“Pelaporan keuntungan RM7.2 juta bagi suku ini, peningkatan 17 peratus berbanding suku pertama dan kenaikan 17 peratus bagi prestasi separuh tahun berbanding tahun lalu membuktikan daya tahan operasi perniagaan kami merentasi sektor mobiliti, penerbangan dan pertahanan, serta marin.
“Dengan keuntungan yang konsisten dan kecemerlangan operasi, kami berbesar hati untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham melalui dividen ini ketika melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Prestasi Kumpulan merentasi segmen teras kekal berdaya tahan, didorong oleh penekanan strategik terhadap perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta kejuruteraan:
Segmen mobiliti kekal sebagai penyumbang utama hasil, menjana RM46.15 juta bagi suku tahun dikaji dengan PATNCI sebanyak RM5.26 juta.
Sementara itu, segmen penerbangan dan pertahanan mencatat pertumbuhan pesat dengan hasil RM24.48 juta serta PATNCI RM3.59 juta.
Segmen marin menyumbang PATNCI sebanyak RM460,000, mengekalkan margin perkhidmatan teknikal yang konsisten ke atas hasil RM8.04 juta, manakala segmen tenaga merekodkan hasil RM740,000 ketika segmen ini menyusun semula portfolio bagi kitaran kontrak akan datang, menyebabkan kerugian PATNCI sebanyak RM1.34 juta bagi suku berkenaan.